DAP Salah PM Kerana Reformasi Perlahan? MIC Persoal Motif Sebenar Selepas Kekalahan Sabah

Kuala Lumpur, 10 Disember 2025 — Suasana politik dalam Kerajaan Perpaduan kembali menjadi tumpuan apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyatakan bahawa partinya akan memberikan tempoh enam bulan kepada kerajaan untuk menilai kemajuan reformasi, sambil menegaskan bahawa DAP tidak akan “menjatuhkan Anwar”, tetapi akan menilai semula peranan mereka dalam kerajaan.

Kenyataan tersebut, seperti dilaporkan Malaysiakini dalam artikel “Six-month deadline: DAP will reassess role, but won’t let Anwar fall”, dilihat sebagai satu bentuk tekanan halus terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pemerhati politik menganggap langkah itu sebagai percubaan jelas DAP untuk meletakkan tanggungjawab kelembapan reformasi di atas bahu Perdana Menteri.

Namun, naratif ini segera mengundang respons keras daripada Malaysian Indian Congress (MIC), yang mempersoalkan mengapa DAP hanya mula mengambil pendirian tegas terhadap reformasi selepas hampir tiga tahun berada dalam kerajaan.

Ahli Kerja Pusat MIC, Datuk RT Rajasekaran, menyifatkan tindakan DAP itu sebagai “tidak konsisten” dan “bermotif politik”, lebih-lebih lagi selepas kekalahan besar parti itu dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

“DAP adalah parti terbesar dalam kerajaan hari ini. Jika reformasi benar-benar keutamaan mereka, mengapa selepas hampir tiga tahun barulah mereka tampil mendesak Perdana Menteri?” katanya dalam satu kenyataan.

Rajasekaran turut menegur beberapa isu pentadbiran yang melibatkan kementerian yang diterajui oleh pemimpin DAP, termasuk peraturan baharu terhadap pemandu lori yang membawa muatan lebih, serta isu-isu di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) seperti kerosakan Aerotrain di KLIA dan kontroversi ‘Jewel Waterfall’.

“Isu-isu ini tetap berada di bawah bidang tanggungjawab kementerian DAP. Jadi bagaimana DAP boleh menyalahkan Perdana Menteri semata-mata apabila pelaksanaan reformasi tidak bergerak seperti yang mereka sendiri janjikan?” soalnya.

Dalam pada itu, Rajasekaran membangkitkan persoalan mengapa isu-isu seperti e-invoicing, SOSMA, dan tuntutan Puan Indira Gandhi hanya diangkat secara agresif baru-baru ini, meskipun para pemimpin DAP memegang kuasa dan akses kepada mesyuarat kabinet sejak 2022.

“Jika isu-isu ini benar-benar penting, mengapa pemimpin-pemimpin mereka memilih untuk membangkitkannya melalui media, bukan secara langsung kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat kabinet?” katanya, sambil menambah bahawa isu pengiktirafan UEC juga tidak menunjukkan sebarang kemajuan konkrit meskipun menjadi antara janji lama DAP.

Pemerhati politik melihat tindakan DAP menetapkan tempoh enam bulan sebagai cubaan untuk memperbaiki imej parti itu selepas kekalahan di Sabah, dengan memisahkan diri daripada persepsi umum terhadap kelemahan kerajaan.

Rajasekaran menyuarakan pandangan serupa.

“DAP kini menuding kepada Perdana Menteri kononnya reformasi tidak berjalan dengan pantas. Tetapi tidakkah mereka sedar bahawa masalah komunikasi, kelemahan dasar, dan kegagalan pelaksanaan dalam kementerian-kementerian mereka sendiri turut menyumbang kepada kemerosotan sokongan rakyat?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa masyarakat kini semakin peka terhadap strategi politik seperti ini.

“Selepas hampir tiga tahun berada dalam kerajaan, tiba-tiba DAP mahu tampil sebagai juara reformasi. Rakyat dapat melihat bahawa ia bukan perjuangan demi kebenaran, tetapi reaksi panik selepas kekalahan yang memalukan di Sabah,” katanya.

Menurutnya, tekanan yang diberikan kepada Perdana Menteri bukanlah tekanan tulen untuk mempercepatkan reformasi, tetapi lebih kepada usaha menyelamatkan sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.