MIC Menjadi Pilihan Anak Muda Kaum India Pulau Pinang

GEORGETOWN, Sept 23 – Parti MIC menjadi pilihan lebih 300 orang anak muda kaum India negeri Pulau Pinang yang mendaftar sebagai ahli baru parti berkenaan, sekaligus mencerminkan keyakinan mereka terhadap perjuangan dan peranan MIC terhadap masyarakat India negara ini.

Pergerakan Pemuda MIC Pulau Pinang berjaya merekrut lebih 300 orang ahli baru dalam tempoh hanya dua bulan, dan mereka telah diraikan  di dalam satu majlis khas yang dihadiri oleh kepimpinan MIC Negeri Pulau Pinang dan juga Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan.

“Saya selaku ketua pemuda rasa bangga atas komitmen ahli-ahli baharu serta menyeru agar kesetiaan kepada perjuangan parti terus dikekalkan. Pendaftaran ahli baru ini membuktikan bahawa Pemuda MIC Pulau Pinang menjadi daya tarikan utama bagi golongan muda yang percaya kepada perjuangan parti dan masa depan masyarakat India yang lebih baik. Kami berjanji akan terus berjuang bagi memastikan hak-hak masyarakat kita terjamin, selari dengan matlamat utama parti MIC,” kata Arvind Krishnan, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan ketika berucap di dalam majlis berkenaan.

Ketua Pemuda MIC Negeri Pulau Pinang, Rubaraj Tamotiraan berkata Pemuda MIC Pulau Pinang akan terus bergerak ke hadapan dengan pelbagai inisiatif untuk membantu masyarakat India di negeri ini dan mengekalkan hubungan erat dengan kepimpinan parti di peringkat pusat.

“Pemuda MIC Pulau Pinang optimis bahawa usaha berterusan dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat India akan terus mendapat sokongan dan dokongan daripada generasi muda, seterusnya menjadikan MIC sebagai benteng utama dalam menjaga kesejahteraan komuniti India di Malaysia,” tambah Rubaraj lagi.

Pengerusi MIC Negeri Pulau Pinang, Datuk J. Dhinagaran merakamkan penghargaannya kepada Pergerakan Pemuda yang terus berperanan sebagai barisan hadapan parti di dalam menyantuni keperluan dan aspirasi golongan muda. Beliau berjanji akan terus menyokong segala agenda yang dirancang oleh Pegerakan Pemuda.