IPOH, Disember 12 – Pergerakan Pemuda MIC Negeri Perak menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan data jutaan pengguna melalui pelantikan Rider Gate Sdn Bhd sebagai ejen kutipan bertauliah bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke menekankan bahawa pelantikan ini bukanlah langkah untuk mengaut keuntungan, tetapi inisiatif untuk memudahkan perkhidmatan awam melalui pendigitalan, Ejen pemungut tak dapat komisen, keuntungan daripada JPJ.” Syarikat mesti mengembalikan 100% nilai kutipan kepada kerajaan, tanpa bayaran daripada JPJ.
Theeageesh Ganesan, Ketua Pemuda MIC Negeri Perak berpendapat kenyataan JPJ dan Menteri Pengangkutan tersebut hanya mengundang pelbagai persoalan dan keraguan. Walaupun menafikan komisen, Loke tak jelaskan “caj nominal” yang dikenakan oleh Rider Gate. Ini boleh dilihat sebagai beban tersembunyi kepada pengguna, berbeza dengan transaksi percuma melalui MyJPJ.
“Pemuda MIC Negeri Perak juga khuatir akan keselamatan data pengguna serta ketiadaan rekod transaksi data oleh penyedia perkhidmatan sedia ada. Data berjuta-juta pengguna Malaysia yang diberi akses kepada penyedia perkhidmatan baru seperti Rider Gate juga menimbulkan kegusaran.”
“Apakah rasional Kementerian Pengangkutan memberi akses data peribadi rakyat Malaysia kepada sebuah syarikat yang baru didaftar pada tahun 2023, lebih-lebih lagi yang terlibat di dalam sektor urusniaga permotoran?”
“Apakah langkah-langkah keselamatan bagi memastikan keselamatan data dan akses pangkalan data telah dikaji dan dilaksanakan?”, soal Theeageesh di dalam kenyataan media beliau.
Menurut Theeageesh yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Pemuda MIC Kebangsaan, tiada bukti dan rekod bagaimana ejen sedia ada (seperti MyEG) meningkatkan kecekapan atau mengurangkan kesilapan transaksi sepanjang operasi mereka. Ini juga bagai melemahkan hujah pelantikan ejen baru “memudahkan” operasi tanpa data sokongan.
“Maka, Pemuda MIC Negeri Perak menyaran Kerajaan agar mengkaji semula aspek keselamatan data pengguna sebelum kontrak sedemikian ditawarkan kepada penyedia perkhidmatan baru di bawah apa juga kementerian mahupun jabatan. Pastikan keselamatan data rakyat Malaysia tidak dipergadaikan!’ kata Theeageesh.